Isnin, 27 Julai 2009

siri 5 - kenduri tahlil

5- Hukumnya Makruh Ahli Si Mati Membuat Makanan Untuk Di Jamu Kepada Orang Ramai- Pendapat Empat Mazhab.

Sebagaimana penyusun katakan bahawa adat resam ini menjadi ikutan yang setia oleh sebahagian besar masyarakat Islam di negara kita dan yang paling mendukacitakan ada setengah bijak pandai Islam mempertahankan habis-habisan tradisi turun temurun ini tanpa berpegang kepada dalil-dalil dan hujjah yang kukuh. Oleh itu penyusun fikir ada baiknya di bentangkan dahulu nas atau teks asal dalam bahasa Arab oleh ulamak dari empat mazhab kemudian diiringi dengan maksudnya di dalam bahasa Melayu.

5- 1 Pendapat Mazhab Maliki

Maksudnya: Perhimpunan orang ramai pada makanan di rumah si mati adalah bid’ah yang makruh tidak ada sandaran riwayat yang boleh di pegang sedikit pun, dan itu bukan tempat kenduri jamuan makan. (9)

Pendapat ulamak dalam Mazhab Maliki itu jelas menunjukkan bahawa segala perhimpunan atau keramaian kenduri makan yang diadakan di rumah si mati selepas kematiannya adalah bid’ah lagi makruh kerana keadaan ketika itu tidak layak diadakan majlis jamuan.

5- 2 Pendapat Mazhab Syafiiy

(a) Sebagaimana di sebut dalam kitab A1-Majmu oleh Imam Nawawi:

Maksudnya: Jika ahli si mati membuat makanan untuk orang ramai dan menghimpunkan mereka kepada makanan itu ianya tidak ada sandaran riwayat yang boleh dipegang sedikitpun, dan perbuatan itu bid’ah yang tidak di sunatkan. Berdalil dengan Hadith Jarir bin Abdullah r.a . Kami mengira perhimpunan kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah dari ratapan kematian (10)

(b) Di dalam Kitab Fiqah Syafiiy yang lain pula menyebut:

Kesibukan ahli si mati (isteri / suami dan anak-anaknya) dengan memasak makanan (selepas kematian) dan menghimpun orang ramai untuk diberikan jamuan kepada mereka sebagaimana menjadi suatu kebiasaan di zaman sekarang, sebenarnya perbuatan itu bid’ah bertentangan dengan sunnah (ikutan Nabi dan sahabat) dan bercanggah dengannya percanggahannya yang berat, tetapi yang sunnahnya ialah sebaliknya (jiran atau keluarga yang jauh atau sahabat handai yang memberikan makan kepada keluarga si mati).

Setengah dari perkara bid’ah yang dilakukan oleh ahli si mati ialah menghimpunkan orang ramai dengan memberi jamuan kepada mereka sempena dengan berlalunya tempoh empat puluh hari lepas kematian dan seumpamanya (seperti tiga hari, tujuh hari, dua puluh hari dan sebagainya). Jika perbelanjaan nafkah makanan tersebut itu dari harta penerima pusaka yang belum cukup umur, maka hukum haramnya perbuatan itu adalah sangat berat, kerana memakan harta anak yatim dan menghabiskan hartanya bukan untuk faedah kebajikkannya. Orang yang mengajak kepada makanan itu dengan orang yang memakannya adalah sama-sama berkongsi melakukan perkara yang diharamkan. (11)

(c) Hasyiah Iaanah A1-Talibin Syarah kepada Kitab Fiqah Fathu Al-Muiin- merupakan Kitab Fiqah Mazhab Syafiiy yang penting - ada menyebut antaranya:

Hukumnya makruh ahli si mati duduk menunggu untuk menerima takziah dan makruh membuat makanan serta menghimpun orang ramai bagi menjamu mereka (kerana berpegang kepada hadith) yang di riwayatkan oleh Ahmad dari Jarir bin Abdullah r.a. beliau berkata kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah dari ratapan kematian.

Apa yang dilakukan oleh orang ramai dengan berkumpul di rumah ahli si mati dan membuat makanan adalah dari perbuatan bid’ah yang mungkar yang mana diberi pahala kepada pihak penguasa yang mencegah perbuatan itu.

Dijadikan adat kebiasaan ahli si mati membuat makanan untuk menjemput orang ramai bagi menikmati makanan yang di masak. Perbuatan itu adalah bid’ah lagi makruh, seperti juga hukumnya bid`ah lagi makruh kepada orang yang menerima panggilan itu.

Setengah dari bid’ah yang menukar, makruh dilakukan, seperti apa yang dibuat oleh manusia daripada wahsyah (berkumpul serta memberikan makan kepada orang ramai), menghimpun orang ramai dan mengadakan sambutan majlis kenduri makan sempena empat puluh hari kematian. Bahkan semua itu menjadi haram jika perbelanjaan berkenaan dari harta mahjur (belum baligh, gila dan sebagainya) atau dari harta si mati yang mempunyai bebanan hutang ke atasnya atau jika timbul pelbagai kemudaratan dan sebagainya.

Rasullullah s.a.w. berkata kepada Bilal bin A1- Harthi

Wahai Bilal siapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnahku yang dimatikan selepas ku ini dia akan mendapat pahala seperti orang yang beramal dengannya tanpa kurang sedikitpun pahala mereka itu, dan siapa merekaciptakan suatu bid`ah yang sesat tidak diredai Allah dan Rasulnya dia akan mendapat dosa seperti orang yang melakukannya tanpa sedikitpun kurang dari dosa mereka itu.

Tiada keraguan lagi bahawa mencegah manusia dari melakukan perkara bid’ah yang mungkar itu bererti menghidupkan sunnah Rasul dan mematikan bid’ah serta membuka lebih banyak pintu-pintu kebaikan dan menutup pintu-pintu keburukan.

Makruh ahli si mati menerima tetamu dengan menjamu makanan kepada mereka dan ianya bid’ah kerana memberikan makan kepada tetamu itu disyarakkan pada masa gembira sahaja. Sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah dengan Isnad yang sahih dari Jarir bin Abdullah. Beliau berkata, “Kami mengira perhimpunan kepada ahli si mati dan mereka membuat makanan adalah dari perbuatan ratapan kematian” (12)

5-3 Mazhab Hanbali

Jika ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai, maka hukumnya makruh, kerana perbuatan itu menambahkan lagi ke atas musibah mereka dan menambahkan lagi kesibukan ke atas kesibukan mereka yang sedia ada, dan kelakuan itu seperti perbuatan golongan jahiliah. (13)

Di dalam Mazhab Hanbali ada pengecualiannya, iaitu jika terpaksa keluarga si mati membuat makanan kepada orang ramai, maka hukumnya harus. Umpamanya memberi makan kepada orang yang hadir menziarahi mayat, mereka itu datang dari tempat-tempat dan perkampungan yang jauh dan mereka bermalam di rumah keluarga si mati dan terpaksa menerima mereka sebagai tetamu. (14)

5-4 Mazhab Hanafi

Hukumnya makruh keluarga si mati menerima tetamu dengan memberi makan kepada mereka, kerana yang demikian itu disyarakkan hanya di waktu kebahagiaan bukan dalam waktu kesedihan (seperti selepas kematian), ianya adalah bid,ah yang keji, diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Majah dengan Isnad yang sahih dari Jarir bin Abdullah, beliau berkata:
“Kami mengira perhimpunan kepada keluarga si mati dan mereka membuat makanan (untuk dijamu kepada orang yang berhimpun itu) adalah dari ratapan kematian.” (15)

Tiada ulasan: