Jumaat, 24 Julai 2009

siri 1- kenduri tahlil

Tidakkah Bid`ah? Menyediakan Makanan Selepas Kematian

1- Mukaddimah

Sudah menjadi adat resam yang lumrah kepada orang Melayu beragama Islam di tanah air kita apabila suatu kematian berlaku di dalam keluarga mereka, sudah tentu ahli keluarga si mati akan menyediakan makanan dan minuman.

Pada kebiasaannya selepas kematian, keluarga si mati memasak dan menyediakan nasi bungkus mengikut bilangan orang yang hadir sembahyang jenazah dan mengikut jumlah orang yang terlibat memberi pertolongan mentajhizkan mayat termasuk mereka yang menggali kubur dan sebagainya. Sebaik sahaja selesai sembahyang jenazah, nasi bungkus diedar dan dibahagi-bahagikan kepada setiap orang yang turun dari rumah selepas sembahyang.

Lepas kematian, di malam yang pertama hingga malam ketujuh diadakan majlis tahlil kepada ruh si mati, sesudah selesai tahlil, keluarga si mati menghidangkan makanan dan minuman kepada jiran dan para jamaah yang hadir sama ada jamuan ringan atau jamuan berat mengikut kemampuan masing-masing. Pada malam ketiga, malam ketujuh, malam ke empat puluh dan malam ke seratus, pada kebiasaannya dihidangkan jamuan nasi dengan aneka masakan gulai yang enak. Setiap malam Jumaat selepas hari ke tujuh hingga hari ke empat puluh atau kadang-kadang hingga hari ke seratus di adakan majlis tahlil, selepas tahlil di malam-malam berkenaan dihidangkan dengan pelbagai hidangan oleh ahli si mati.

Pendek kata bahawa menjamu makanan dan minuman selepas kematian sebagaimana dijelaskan sebentar tadi, menjadi tugas yang terpaksa dilakukan oleh ahli si mati, sama ada mereka dari orang kaya atau mereka yang kurang berada kalau tidak, nescaya akan dicela oleh jiran tetangganya atau sahabat handainya.

Bukan setakat dicemuh, malahan keluarga si mati yang tidak menurut resam turun temurun itu akan dipandang serong oleh masyarakat sekitar, bermacam-macam tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan kepada ahli si mati yang tidak mengikuti tradisi itu, umpamanya dikatakan kedekut, bakhil, tidak mengenang jasa si mati dan dikatakan kepada keluarga yang tidak membuat kenduri kendara selepas kematian, seperti menanam batang pisang dan sebagainya.

Itulah antara ungkapan dan ujaran yang menggambarkan kejinya sesiapa yang meninggalkan tradisi yang tersebut itu.

Bahkan sebahagian besar dari kalangan umat Islam menganggapnya dari ajaran Islam yang penting tidak boleh diabaikan, kerana ianya turut dilakukan oleh orang yang ada pengetahuan agama, sama ada mereka lepasan dari pondok dan lepasan dari sekolah Arab agama. Mana-mana individu yang mengkritik adat resam itu nescaya akan dicop dan dilabelkan sebagai kaum muda yang hendak merosakkan ajaran Islam yang suci itu.

Walau bagaimanapun ada juga segolongan kecil umat Islam di negara kita berpendapat bahawa membuat dan menjamu makanan selepas kematian adalah perkara bid’ah yang perlu ditinggalkan, kerana tidak pemah dibuat oleh Nabi dan sahabatnya.



sumber :http://www.DarulKautsar.com

Tiada ulasan: