Jumaat, 24 Julai 2009

siri 2- kenduri tahlil

2- Kembali kepada Allah dan Rasul

Penyusun rasa terpanggil untuk mengikut serta dalam perbincangan masalah perselisihan yang tidak berkesudahan itu, semoga masyarakat kita dapat menilai khususnya alim ulamak dan bijak pandai Islam, siapakah yang sebenarnya berada di pihak yang hak dan siapakah pula berada di pihak yang kabur di dalam menentukan sikap terhadap masalah yang dinyatakan itu.

Ulamak silam telah membentang kepada kita umat kemudian mengenai hukum membuat dan menjamu makanan kepada orang ramai selepas berlaku kematian. Antara Hadith-Hadith yang membincangkan secara khusus mengenai perkara itu ialah :-

Yang Pertama:

Hadith yang sahih dikeluarkan oleh Abu Daud, A1-Tarmizhi dan Ibnu Majah dari Abdullah bin Jafar, beliau berkata, “Apabila tiba berita kematian Ja’far (bin Abi Talib), Nabi bersabda:

Maksudnya : “Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’far (isteri dan anak-anaknya), sesungguhnya telah menimpa mereka perkara yang mengharukan”.

Dalam Hadith di atas, Rasulullah s.a.w. mengarahkan jiran tetangga yang tinggal berhampiran dengan keluarga si mati membuat makanan kepada mereka yang ditimpa musibah dukacita kematian. Ja’far bin Abi Talib mati syahid dalam peperangan Mu`tah pada tahun kelapan Hijrah, sebaik sahaja berita kematiannya sampai, Nabi menyuruh jiran tetangganya melakukan perkara itu kepada keluarganya supaya meringankan beban dukacita dengan memberi makanan kepada mereka.

Yang Kedua

Hadith Jarir bin Abdullah r.a, Maksudnya : “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah dari ratapan kematian”

Diriwayatkan oleh Ahmad b. Hanbal dan Ibnu Majah dengan isnad yang sahih.

Hadith di atas menunjukkan kepada kita, bahawa orang ramai yang berhimpun di rumah ahli si mati dan memakan makanan yang dimasak dan dihidangkan oleh ahli si mati adalah dari perbuatan ratapan. Ratapan selepas kematian adalah perbuatan jahiliah dan hukumnya haram, sebagaimana dimaklumi.

Kedua-dua buah Hadith yang dipaparkan itu adalah terdiri dari Hadith-Hadith sahih. Hadith sahih amat tinggi martabatnya di mana ia menjadi sumber hukum yang kedua selepas kitab suci Al-Quran. Perbincangan di kalangan Imam-Imam mujtahid dan ulamak-ulamak agung dari empat mazhab mengenai hukum menjamu makan selepas kematian adalah pada asalnya berdasarkan kepada dua Hadith berkenaan.

Betapa kuatnya sesuatu hukum yang bersandarkan kepada Hadith sahih, sehingga Imam Syafiiy pernah menegaskan mengenai perkara itu, maksudnya, “Apabila sahihnya Hadith, maka itulah mazhab aku, jika tidak sahih, hendaklah kamu campakkannya di belakang dinding”.


sumber : http://www.blogger.com/www.DarulKautsar.com

Tiada ulasan: