Jumaat, 24 Julai 2009

siri 4- kenduri tahlil

4- Sunat Membuat Makanan Untuk Ahli Si Mati - Pendapat Empat Mazhab

Selepas kita mengikuti perbincangan ulamak mujtahidin mengenai membuat dan menjamu makanan selepas kematian atau dengan lain perkataan, membuat kenduri dan jamuan makan selepas kematian. Difahamkan dari ulasan dan penerangan itu amat berbeza sekali apa yang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat Islam kita pada hari ini, di mana amalan mereka membuat kenduri dan jamuan makan selepas kematian bercanggah dengan sunnah Nabi dan sunnah sahabat dan bertentangan dengan fatwa-fatwa ulamak. Kerana masalah ini sangat menebal di amalkan dalam masyarakat Islam Melayu kita penyusun merasai mustahak membentangkan pula kepada pembaca pendapat Fuqahaa dari empat mazhab sebagaimana berikut :-

4-. 1 Mazhab Maliki

Disunatkan kepada jiran dan seumpamanya menyediakan makanan kepada keluarga si mati kerana kesibukan mereka terhadap kematian.

4- 2 Mazhab Hanafi

Disunatkan kepada jiran keluarga si mati dan kaum kerabatnya yang jauh menyediakan makanan untuk keluarga si mati yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana sabda Nabi s.a.w: “Hendaklah kamu membuat makanan kepada keluarga Jafar, sesungguhnya telah menimpa mereka perkara yang mnegharukan”. Kerana memberi makan itu perkara kebaikan dan maruf, dipelawa sungguh-sungguh kepada mereka supaya mereka makan, kerana kesedihan menghalang mereka dari makan makanan dan menyebabkan mereka menjadi lemah.

4- 3 Mazhab Hanbali

Disunatkan membuat makanan untuk ahli si mati, dihantar makanan itu kepada mereka kerana memberi pertolongan dan melembutkan hati mereka. Boleh jadi mereka sibuk dengan ujian bala yang diterima dan sibuk dengan kunjungan orang ramai yang datang menemui mereka, menyebabkan tidak dapat menyediakan makanan untuk diri mereka sendiri. Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abdullah bin Ja.far, beliau berkata apabila tiba berita kematian Ja’far (bin Abu Talib), Rasulullah s.a.w. bersabda hendaklah kamu membuat makanan kepada keluarga Ja’far, sesungguhnya telah menimpa mereka perkara yang mengharukan.

Diriwayatkan dari Abdullah bin Abu Bakar beliau berkata: “Sentiasa Sunnah Nabi itu menjadi ikutan kami (sahabat Nabi) sehingga ditinggalkan oleh manusia yang meninggalkannya (yakni sehingga sunnah ini ditinggalkan dan tidak di amalkan oleh kebanyakan orang).

4- 4 Mazhab Syafiiy

Sebagaimana disebut dalam kitab A1-Muhazzab oleh A1-Syairazi (8):

Disunatkan kepada kaum kerabat si mati dan jirannya membuat makanan kepada ahli si mati (suami / isteri dan anak-anaknya), kerana diriwayatkan apabila Jafar bin Abu Talib terbunuh, Nabi bersabda, “hendaklah kamu membuat makanan kepada keluarga Ja’far, sesungguhnya telah menimpa mereka perkara yang mengharukan”.

Imam Nawawi menyebut di dalam kitab A1-Majmu syarahan kepada kitab al-Muhazzab Imam Syafiiy berkata di dalam kitab A1- Mukhtasar, “Aku suka kepada kaum kerabat si mati danj irannya membuat makanan untuk ahli si mati yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, sesungguhnya perbuatan itu sunnah dan dilakukan oleh golongan baik-baik.”

Telah berkata Ashab kita (ulamak Fiqah Syafiiy):

“Dipelawakan sungguh-sungguh kepada mereka (keluarga si mati) supaya mereka makan. Walau mayat itu berada di negeri lain sekalipun di sunnat juga kepada jiran tetangga keluarga si mati membuat makanan untuk mereka.”

Setelah kita mengikuti pendapat ulamak di dalam empat mazhab mengenai membuat dan menyediakan makanan ataujamuan selepas kematian, kita dapati semua mazhab telah bersepakat kata bahawa hukumnya sunat bagi jiran tetangga dan bagi kaum kerabat yang jauh kepada si mati membuat makanan kepada keluarga si mati, bukannya keluarga si mati yang memasak makanan dan menjamu jiran dan orang ramai apabila suatu kematian berlaku seperti diamalkan oleh kebanyakkan masyarakat kita pada hari ini.


Tiada ulasan: